4 Adun berpaling tadah perlu bertanding tiket bebas

0
2
{"source":"other","uid":"3F5F2710-B87A-4FF5-86BA-45E10FB6FDE2_1634885701832","origin":"gallery","fte_sources":[],"used_premium_tools":false,"used_sources":"{"version":1,"sources":[]}","premium_sources":[],"is_remix":false}

EMPAT bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menarik sokongan terhadap bekas Ketua Menteri Melaka menyebabkan kerajaan negeri itu tumbang, disaran bertanding sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Ahli Parlimen Selayang dari PKR, William Leong Jee Keen berkata keempat-empat Adun itu memikul tanggungjawab untuk membuktikan tindakan menjatuhkan kerajaan mereka sendiri dilakukan bagi menegakkan prinsip dan ideologi mereka.

William menegaskan, Pakatan Harapan (PH) pastinya tidak boleh membiarkan mereka bertanding di bawah gabungan itu.

“Keempat-empat Adun yang menarik sokongan terhadap ketua menteri dan menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) di Melaka harus bertanding atas tiket bebas.

“Mereka harus membuktikan bahawa pengundi setuju bahawa yang itu adalah (silap) ketua menteri dan bukan mereka yang menyimpang dari prinsip.

“Keempat-empat Adun ini harus bertanding secara bebas supaya mereka boleh dinilai oleh pengundi. Mereka tidak boleh bersembunyi di bawah tiket parti politik lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan William itu dibuat susulan terdapat spekulasi bahawa PH akan menerima keempat-empat Adun tersebut untuk bertanding di bawah tiket PH pada PRN nanti.

Empat Adun tersebut ialah Datuk Seri Idris Haron (Umno-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Umno-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas), dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Sebelum ini, beberapa pemimpin PH secara terbuka menolak untuk bekerjasama dengan keempat-empat Adun tersebut, khususnya DAP yang tidak mahu Norhizam menjadi calon PH.

Semalam, Majlis Presiden PH mencapai kata sepakat dalam menentukan kedudukan empat bekas Adun berkenaan sama ada dicalonkan bertanding atas tiket PH atau sebaliknya.

Majlis Presiden PH turut memutuskan Norhizam tidak akan dijadikan calon pakatan itu dalam PRN Melaka.

Mengulas lanjut, William berkata, menerima keempat-empat Adun itu akan membawa kesan memalukan kepada PH, termasuk imej politik yang akan tercemar sehingga tidak dapat diperbaiki.

“Keempat-empat Adun itu asalnya dari parti-parti yang menyokong politik perkauman dan ideologi menegakkan ketuanan Melayu.

“Sekiranya PH / PKR menerima mereka masuk, itu bermaksud gabungan ini tidak lagi serius dalam agenda reformasi, manifesto, ideologi dan perjuangannya untuk perubahan.

“Ini bermaksud gabungan ini tidak lebih dari oportunis politik yang mencari jawatan, kepentingan dan kuasa serta tidak ingin melaksanakan perubahan,” katanya

Katanya lagi, bekerja dengan pengkhianat bermakna PH bersedia untuk meneruskan “sarkas” majoriti Parlimen yang telah dimulakan sejak rampasan kuasa ketika Langkah Sheraton. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/William Leong

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here