Jangan benar parti tak daftar bertanding – Shafie

0
4

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) digesa tidak memberi sebarang kelonggaran kepada mana-mana parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sesebuah parti hanya dibenarkan bertanding dan menggunakan lambangnya jika sudah berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Menurutnya, mana-mana badan organisasi yang tidak berdaftar tidak boleh bertanding.

“Jika ini berlaku, dikhuatiri pihak berkaitan (parti politik tidak berdaftar) pada masa akan datang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan menggunakan kaedah yang sama. 

“Jangan beri kelonggaran kerana jika dilonggarkan ia akan dilihat bahawa sistem perundangan tidak dilaksanakan dengan baik.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Syed Badlishah Syed Osman yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) tiada rekod daftar parti di bawah JPPM.

Kenyataan itu turut menggesa JPPM memberi pencerahan status pendaftaran parti PN selain mendesak semua calon yang bertanding pada PRN di bawah bendera PN, dibatalkan jika benar belum didaftarkan.

Bagaimanapun JPPM dalam kenyataan hari ini mengesahkan PN telah didaftar dan disahkan penubuhannya pada 7 Ogos lalu.
Menurut JPPM, PN didaftarkan melalui pengeluaran sijil pendaftaran PPM-019-14-07082020 yang dilulus dan ditandatangani Pendaftar Pertubuhan di bawah kategori politik, selaras peruntukan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335].

Sementara itu, Mohd Shafie mengesahkan calon Warisan, Alias Sani yang bertanding di DUN Sekong, bukan pengganas Jemaah Islamiah (JI) seperti didakwa pihak tertentu.

Media sebelum ini melaporkan, Alias ​​Sani, mengakui pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan JI, namun beliau tidak pernah menyokong keganasan.

“Memang pun betul, saya sudah semak, kita sudah siasat, dan dia tiada kes,” katanya. – Malaysiapost