JABATAN Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) hari ini mengesahkan Perikatan Nasional (PN) telah didaftar dan disahkan penubuhannya pada 7 Ogos lalu.
Menurut JPPM, PN didaftarkan melalui pengeluaran sijil pendaftaran PPM-019-14-07082020 yang dilulus dan ditandatangani Pendaftar Pertubuhan di bawah kategori politik, selaras peruntukan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335].
Kenyataan JPPM menyusul selepas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Syed Badlishah Syed Osman mendakwa “Perikatan Nasional Tiada Rekod Daftar Parti”.
Mengulas mengenainya, JPPM berkata kenyataan media berkenaan tidak benar dan tidak berasas.
Katanya, sistem di laman sesawang JPPM bagi kelulusan sesebuah pertubuhan dikemaskini secara automatik setiap dua bulan.
Berikutan itu, kelulusan PN hanya tertera dalam carian umum laman sesawang JPPM pada awal Oktober 2020, memandangkan ia diluluskan pada Ogos.
Bagaimanapun, sekiranya ada carian khusus dalam sistem pertubuhan eROSES ia akan jelas memaparkan PN diluluskan pada tarikh 7 Ogos 2020.
Maklumat Parti yang terdapat dalam sistem eROSES hanya boleh diakses oleh setiausaha parti tersebut sahaja.
Kenyataan itu menyebut, JPPM merupakan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang berfungsi mengawal semua pertubuhan berdaftar di Malaysia melalui penguatkuasaan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335].
Penguatkuasaan Akta 335 adalah untuk memastikan semua pertubuhan berdaftar bergerak selaras dengan peruntukan perlembagaan pertubuhan. – Malaysiapost

