Pulau Batu Puteh: Ramasamy buta sejarah – Khairuddin

0
2

KETUA Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menyifatkan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy buta sejarah dan ‘bankrap minda’.

Beliau membidas Ramasamy yang memdakwa Pulau Batu Puteh terlepas ke tangan Singapura angkara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya ingin tanya P Ramasamy apa bukti baharu yang diperoleh dalam isu Pulau Batu Putih untuk dijadikan sandaran asas bagi mencabar semula keputusan ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa) yang terdahulu?

“Ramasamy tolong jangan cakap kosong dan tolong maklumkan kepada keseluruhan rakyat mengenai kenyataannya itu,” kata Khairuddin dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu Ramasamy dilaporkan berkata, keputusan mencabar ICJ berhubung kes Pulau Batu Puteh berdasarkan bukti baharu adalah amalan biasa dan tidak bertentangan dengan amalan antarabangsa.

Malah, Ramasamy menyifatkan alasan Dr Mahathir untuk menarik diri daripada rayuan terhadap keputusan ICJ sebagai “cara mudah untuk keluar daripada situasi”.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, Ramasamy tidak pernah terlibat langsung dalam kes Pulau Batu Puteh tetapi kini bercakap seolah-olah mengetahui segala matlumat mengenainya.

“Hakikatnya, Ramasamy pun tidak tahu menahu mengenai fakta isu Pulau Batu Puteh kerana beliau tidak pernah terlibat dalam perkara ini sama ada secara langsung ataupun tidak langsung.

“Keputusan untuk tidak membuat semakan semula ke atas keputusan ICJ adalah pendirian seluruh jemaah Kabinet kerajaan PH (Pakatan Harapan),” katanya.

Jelas Khairuddin, pastinya pada waktu itu, Dr Mahathir telah menerima pendapat semua ahli jemaah Kabinet sebelum keputusan untuk tidak merayu dibuat secara konsensus.

“Semangat nasionalisma Dr Mahathir amat tinggi, bukan senang untuk beliau serta seluruh jemaah menteri hendak buat keputusan untuk hilang beting pasir Pulau Batu Puteh.

“Namun, sudah pasti kerajaan PH mempunyai justifikasi kuat untuk tidak membuat rayuan di ICJ sepertimana dijelaskan oleh Dr Mahathir semalam.

“Atas alasan negara Singapura menjaga Rumah Api di Pulau Batu Puteh dari dahulu sehingga kini merupakan alasan utama keputusan ICJ memihak kepada negara jiran kita,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir pertama kali ‘membuka mulut’ berhubung isu Pulau Batu Puteh selepas kerajaan memutuskan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat isu itu baru-baru ini.

Dr Mahathir berkata, negara yang bermaruah perlu menghormati janji dan hanya negara tidak bermaruah memungkiri janji.

“Kita terus berunding, tetapi tidak menghasilkan apa-apa keputusan. Kita dan Singapura kemudian bersetuju untuk merujuk kepada ICJ

“Tetapi, untuk tujuan itu kedua-dua pihak perlu berjanji secara bertulis akan menerima apa saja keputusan yang dibuat oleh ICJ. Tiada rayuan terhadap keputusan ICJ. Keputusan ICJ adalah muktamad,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here