PM ucap takziah kepada keluarga Mohd Diya

0
2

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon mengucapkan takziah kepada keluarga anggota bomba Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh,46, yang meninggal awal pagi tadi.

Menerusi hantaran Facebooknya, Perdana Menteri turut mengucapkan takziah kepada seluruh Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Melaka di atas kehilangan anggota pasukan itu.

“Saya mendapat perkhabaran mendukacitakan tentang seorang anggota bomba Mohd Diya Che Jusoh, yang meninggal dunia awal pagi ini.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Diya serta seluruh warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Melaka,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Allahyarham terlibat membantu mangsa banjir di Sungai Putat, Batu Berendam, Melaka semalam.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Mohd Diya yang juga anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah yang lemas ketika melaksanakan operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir di Kampung Sungai Putat semalam, meninggal dunia awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang semalam, mangsa dipercayai sedang memasang tali di kawasan banjir bagi membantu penduduk kampung keluar dari kediaman masing-masing.

Mangsa dipercayai rebah secara tiba-tiba ke dalam air banjir berarus deras, sebelum diselamatkan anggota bomba lain yang turut berada lokasi kejadian. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here