‘Alasan Tun M batal semakan Pulau Batu Puteh lemah, dangkal’ – Najib

0
2
Pix via Malaysiapost

DATUK Seri Najib Razak membidas alasan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung keputusan Malaysia menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman berkaitan kes kedaulatan Pulau Batu Puteh pada 2018.

Najib menyifatkan alasan yang diberikan Dr Mahathir membatalkan semakan permohonan keputusan kehakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) adalah demi menjaga maruah Malaysia, adalah lemah dan dangkal.

“Lemah betul alasan terbaru Tun M kenapa kerajaan PH (Pakatan Harapan) tarik balik tuntutan Pulau Batu Puteh beberapa hari sebelum perbicaraan bermula di ICJ selepas PRU14.

“Sebab negara perlu bermaruah dan perlu pegang kepada janji untuk menghormati keputusan ICJ pada tahun 2008 supaya Malaysia bukan negara pariah.

“Dulu kata sebab kos dan peluang untuk menang tidak cerah. Kini kata supaya Malaysia tidak menjadi negara pariah yang tidak hormat janji. Eh… Tun M dulukan pernah kata janjian itu bukan kitab suci?” katanya di Facebook, hari ini.

Kerajaan PH yang dipimpin Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri telah membuat keputusan membatalkan semakan kes tersebut beberapa hari sebelum kes tersebut dibicarakan di ICJ pada 11 Jun 2018.

Semalam, Dr Mahathir buat pertama kali ‘membuka mulut’ berhubung isu Pulau Batu Puteh selepas kerajaan memutuskan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat isu itu baru-baru ini.

Dr Mahathir berkata, negara yang bermaruah perlu menghormati janji dan hanya negara yang tidak bermaruah memungkiri janji.

“Kita terus berunding, tetapi tidak menghasilkan apa-apa keputusan. Kita dan Singapura kemudian bersetuju untuk merujuk kepada ICJ

“Tetapi, untuk tujuan itu kedua-dua pihak perlu berjanji secara bertulis akan menerima apa saja keputusan yang dibuat oleh ICJ. Tiada rayuan terhadap keputusan ICJ. Keputusan ICJ adalah muktamad,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here