Pesawat terbang rendah di Pasir Gudang kerana latihan

0
2

PENDUDUK setempat khususnya di Pasir Gudang dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan berhubung kehadiran pesawat milik tentera udara Singapura yang terbang rendah sejak awal Oktober lalu.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dalam satu kenyataannya, berkata ia merupakan sebahagian daripada aset yang terlibat dalam latihan ketenteraan yang dikenali sebagai Eksesais BERSAMA GOLD 2021 telah dianjurkan bermula 8 hingga 18 Oktober lalu.

Beliau berkata, latihan yang dianjurkan oleh Malaysia itu adalah bersempena dengan sambutan 50 tahun Five Power Defence Arrangements (FPDA).

“Ia disertai oleh negara anggota FPDA iaitu Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom sempena Sambutan 50 Tahun FPDA serta terlibat di acara terbang lintas (fly-past) pada Khamis.

“Sepanjang latihan, semua pesawat tentera negara anggota (FPDA) iaitu Australia, New Zealand dan United Kingdom telah ditempatkan di Singapura.

“Manakala pesawat kepunyaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) beroperasi dari Pangkalan Udara di Malaysia. Ini menyebabkan peningkatan trafik udara di sekitar ruang udara negara khususnya di selatan Johor berhampiran Pasir Gudang,” katanya hari ini.

Affendi berkata, penerbangan pesawat itu juga telah mendapat kelulusan diplomatik bagi tujuan latihan tersebut dan kawasan ruang udara Pasir Gudang merupakan laluan penerbangan yang dibenarkan sewaktu latihan berkenaan berlangsung.

“Sehubungan itu, Angkatan Tentera Malaysia menyarankan agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan sebarang kekeliruan dan kegusaran di kalangan masyarakat Malaysia amnya dan rakyat Johor terutamanya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here