PRN Melaka: Asingkan pengundi antivaksin – pensyarah

0
2

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) wajar memberikan hak mengundi kepada golongan yang menolak vaksin Covid-19 atau antivaksin dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bagaimanapun, Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata mereka perlu diasingkan dengan pengundi yang telah menerima vaksinasi.

“Dalam PRN Melaka, berikan hak mengundi golongan antivaksin ini, tetapi asingkan mereka di bilik berasingan dengan pengundi yang telah divaksin.

“Vaksin ini adalah soal keselamatan kesihatan negara. Jika bertolak ansur lagi dengan golongan antivaksin ini, Malaysia tidak akan pernah pulih.

“Bagi golongan antivaksin ini, tidak hendak ambil vaksin tidak mengapa, tetapi duduk diam sahaja di rumah dan jangan bercampur di tempat ramai,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Kelmarin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan vaksinasi lengkap sebagai syarat untuk pemilih mengundi pada PRN Melaka seperti dilaporkan beberapa agensi media.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh menegaskan, garis panduan pencegahan Covid-19 bagi tujuan PRN Melaka itu belum dimuktamadkan.

“SOP berkenaan akan berpandukan kepada pandangan dan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu Dr Mohammad Agus turut memuji kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk bertindak tegas terhadap kumpulan antivaksin.

“Sekurang-kurangnya KJ mempunyai keberanian dan ketegasan untuk melakukan sesuatu yang betul untuk rakyat dan negara. Golongan antivaksin ada hak sebagai rakyat dan saya juga ada hak sebagai rakyat untuk dilindungi.

“Malah jika saya di kedudukan KJ, saya wajibkan vaksinasi. Jika golongan ini percaya kepada ubat suplementari dan Ivermectin, itu hak dan pilihan mereka.

“Tetapi jangan biarkan mereka bebas berkeliaran bersama dengan golongan yang telah divaksin,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here