LELAKI yang menunggang motosikal dengan aksi berbahaya di Jalan Kuching, Kuala Lumpur menyerah diri kepada polis semalam.
Individu tersebut yang menunggang motosikal sambil meminum air bungkus telah direman hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, suspek berusia 36 tahun ditahan selepas datang ke Balai Polis Trafik Tun HS Lee di ibu negara pada jam 8.45 malam.
“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk menjalani ujian saringan air kencing.
“Keputusan ujian saringan mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 9 September lalu, Malaysia Post menyiarkan video tular menunjukkan aksi seorang individu lelaki menunggang motosikal sambil meletakkan kedua-dua belah kakinya pada pedal pemulas.
Video berdurasi 41 saat itu memaparkan lelaki berkenaan menunggang motosikal
sambil kedua-dua tangannya memegang air bungkus “ikat tepi”.
Susulan itu, video berkenaan menerima pelbagai reaksi dari warganet yang mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penunggang motosikal berkenaan.
Justeru, polis semalam melalui kenyataan memaklumkan sedang mengesan lelaki terbabit untuk siasatan lanjut. – Malaysiapost

