POLIS Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama pihak berkuasa Filipina berjaya menumpaskan aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket antarabangsa dengan merampas dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat 392.2 kilogram (kg).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Razarudin Husain, berkata dadah yang dianggarkan bernilai lebih Rm14 juta itu ditemui dalam satu kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor.
Menurutnya, rampasan itu adalah hasil perkongsian maklumat daripada Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina yang mana maklumat tersebut telah disampaikan kepada PDRM pada 15 Oktober lalu.

“Maklumat itu memaklumkan satu kontena daripada Guatemala akan membawa dadah masuk ke Filipina.
“Daripada maklumat itu dan atas kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Tanjung Pelepas serta Polis Johor khususnya daripada JSJN Johor berjaya mengenalpasti kontena yang mengandungi dadah terbabit,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Beliau berkata, dadah berkenaan ditemui hasil pemeriksaan dengan menggunakan alat khas yang dimiliki JSJN untuk membuat imbasan.
“Daripada imbasan tersebut kita dapati ada barangan mencurigakan dan apabila kontena berkenaan dibuka kita dapati daripada 100 guni yang diisytiharkan sebagai biji kopi untuk dihantar ke Filipina, terdapat 14 bungkusan berisi dadah

“Ini adalah kejayaan hasil perkongsian maklumat dengan Filipina dan siasatan lanjut sedang dijalankan kedua-dua pihak untuk mengenalpasti dalang utama sindiket berkenaan,” katanya.
Razarudin berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kerjasama juga dengan Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) Amerika Syarikat (AS) dalam membantu mengenalpasti pengedaran dadah daripada Guatemala berkenaan.
“Apa yang kita pasti dan daripada pihak DEA sendiri Guatemala bukannya negara pengeluar dadah, tetapi perlu diingat ia berada di Selatan Mexico yang merupakan negara pengeluar kokain dan juga syabu.
“Siasatan masih dijalankan dengan bantuan DEA disebabkan penghantaran kontena ini berubah kapal daripada Guatemala ke Panama ke Shanghai kemudian ke Tanjung Pelepas sebelum ke Manila,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak JKDM yang membantu dalam kejayaan itu dan merancang untuk mengadakan mesyuarat khas bersama bagi mengelakkan Malaysia dijadikan hub penyeludupan dadah.
“Selain itu ingin ditegaskan bahawa PDRM mempunyai kerjasama erat dan perkongsian maklumat dengan agensi negara luar yang telah lama wujud dan buktinya adalah kejayaan kali ini,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/Polis Johor

