PENDAKWAH terkenal, Ebit Lew dan ahli keluarganya kini dalam perjalanan ke Switzerland susulan kerajaan telah membenarkan individu yang lengkap vaksinasi melakukan perjalanan ke luar negara bermula 11 Oktober lalu.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Ebit meminta orang ramai mendoakan perjalanan beliau dan keluarganya ke Switzerland dipermudahkan.
“Doakan yer. Bawa bidadari dan anak-anak ke swiss. Tiadalah masa paling indah di dunia ini melebihi saat bersama keluarga. Peneman di dunia dan di sana InsyaAllah. Semoga setiap langkah ini mendapat redha dan kasih sayangnya,” katanya dalam hantaran itu.
Ebit turut memuat naik foto bersama isteri tersayang ketika berada di dalam pesawat sebelum berlepas.
Hantaran tersebut mendapat lebih 17,000 tanda suka dan lebih 600 komen pengguna Facebook yang mendoakan semoga perjalanan Ebit dan keluarganya tiba ke destinasi dengan selamat.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan bersetuju untuk membenarkan rakyat di negara ini melakukan perjalanan ke luar negara tanpa melalui MyTravelPass Jabatan Imigresen Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, pengembara masih perlu menjalani kuarantin wajib sebaik pulang ke tanah air.
Beliau berkata, kebenaran tersebut hanya tertakluk kepada individu yang lengkap divaksin. – Malaysiapost

