PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan ingin memberikan kuasa yang besar kepada anak muda kerana itu kerajaan memberikan taruhan kepada Undi 18.
Menurutnya, pelaksanaan Undi 18 itu membuktikan keyakinan kerajaan kepada anak muda dalam menyertai proses pembangunan negara.
Beliau yang mengadakan perjumpaan dengan perwakilan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) pada hari ini berkata, telah berkongsi pandangan serta pelan tindakan untuk penambahbaikan.
“Alhamdulillah, banyak input menarik yang telah saya terima hari ini terutama yang diutarakan oleh Presiden MPPK, Amir Asyraf sendiri.
“Insya-Allah, kerajaan sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan daripada anak muda,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Turut hadir pada perjumpaan itu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Ismail Sabri memberitahu, MPPK yang kini dianggotai 41 pemimpin pelajar mewakili 41 universiti di seluruh negara, bukan sekadar simbol kepada kesatuan pelajar institusi pengajian tinggi, malah memainkan peranan penting dalam membuka ruang dan mewujudkan komunikasi dua hala antara pelajar dan kerajaan.
Katanya lagi, beliau sendiri pernah menjadi Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya sesi 1982/1983.
“Saya percaya suatu hari nanti, ada di antara anak muda yang saya temui hari ini akan menjadi pemimpin besar negara,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini memaklumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik selewat-lewatnya pada 31 Disember tahun ini seperti yang
diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuching. – Malaysiapost

