Isu arak: ‘Kerajaan perlu bertegas, pelihara nama baik Islam’ – Mujahid

0
2
Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf

NAIB Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mahu kerajaan bertindak tegas dalam isu arak demi memelihara nama baik Islam dan kedudukannya dalam negara.

Selain itu, beliau menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dan Kabinet menyatakan pendirian mengenai isu itu supaya nama baik Islam di Malaysia tidak dicemari tanpa menidakkan hak bukan Islam di negara ini.

“Lebih penting, pihak yang memainkan isu arak untuk sentimen politik perlu sedar bahawa arak bukan soal politik murahan.

“Sebaliknya memerlukan ketekunan kepada menurunkan dasar pemerintahan berkesan demi memelihara kedudukan Islam sebagai agama rasmi sekali gus memelihara kesejahteraan masyarakat berbilang kaum,” katanya dalam menerusi Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, Dasar Arak perlu bermula dengan melarang umat Islam daripada terlibat dalam semua aktiviti pemprosesan, jual beli, pengangkutan, hidangan dan yang berkaitan.

Selain itu, katanya, sebarang promosi arak dan kaitannya dilarang sama sekali bagi menghormati Islam sebagai agama Persekutuan.

“Ketiga, sensitiviti umat Islam perlu dipelihara dalam semua aktiviti arak di kalangan bukan Islam termasuk penganjuran majlis, pemilihan jenama dan simbol yang boleh menimbulkan kemarahan kepada umat Islam.

“Keempat, isu hak bukan Islam dalam soal arak dan kaitannya perlu dijauhi dari eksploitasi politik bagi meraih sokongan dan menimbulkan kebencian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang sama ada peringkat kerajaan tempatan, mahupun Pusat perlu diperketatkan supaya gejala kesan arak dapat dikawal dan ditangani dengan berkesan.

“Berkenaan cukai arak (sin tax), dicadangkan supaya peruntukan besar perlu dibuat di bawah program ‘Berhenti Minum Arak’ bagi menimbulkan kesedaran kepada orang ramai tentang bahaya arak dan ancamannya kepada kesejahteraan dan keselamatan masyarakat.

“Program ini adalah rentas kaum dan agama bagi menunjukkan solidariti rakyat Malaysia menentang bahaya arak dalam masyarakat bagi memelihara kesihatan dan kesejahteraan rumahtangga dan keselamatan masyarakat,” katanya.

Selain itu, Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, daripada sudut industri pihak yang mempromosikan jenama arak ‘Timah’ sebagai produk Malaysia, memburukkan imej Islam sebagai agama Persekutuan sekali gus menimbulkan kemarahan umat Islam.

Pihak pengurusan pengeluar arak jenama Timah tampil mengeluarkan satu kenyataan di Facebooknya pada Isnin yang menjelaskan situasi sebenar yang menimbulkan kemarahan masyarakat terhadap nama tersebut.

Menurut kenyataan berkenaan, terdapat beberapa maklumat yang salah tersebar dan perlu diperjelaskan supaya tidak berlaku salah faham. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here