POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersiap siaga sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan dalam masa terdekat dan akan membantu sepenuhnya pelaksanaan proses demokrasi berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, jika ada pengumuman oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk adakan PRN Melaka, pihak PDRM tiada masalah untuk menghadapinya.
Menurutnya, proses demokrasi berkenaan akan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), jika ada SOP tertentu PRN yang perlu dikuatkuasakan.
“Buat masa ini pasukan Pematuhan SOP yang diwujudkan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka ini adalah sebanyak 280 pasukan yang menjalankan penguatkuasaan.
“Jika perlu ditambah, PDRM akan menambahnya mengikut keadaan PRN tersebut. Tiada masalah dalam perkara ini kerana kami sentiasa bersedia untuk menghadapi PRN jika ada pengumuman mengenainya dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Balai Polis Malim, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah sempena Program Penyampaian Bakul Makanan Asnaf dan Pesara Polis, hari ini.
Menurutnya, penambahan kekuatan pasukan itu turut akan membabitkan kontinjen dari negeri lain jika diperlukan.
SPR dalam satu kenyataan pada Jumaat lalu memaklumkan akan mengadakan sidang media mengenai PRN Melaka pada hari ini.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, sidang media itu dijangka diadakan pada jam 12 tengah hari di sebuah hotel terkenal di Melaka. – Malaysiapost

