
PERBEZAAN keahlian parti politik di kalangan adik beradik bukan suatu perkara baharu dalam politik tanah air, kata Perdana Menteri.
Malah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, adik beradik atau ahli keluarga yang berlainan idelogi politik telah lama berlaku dalam arena politik Malaysia.
Beliau menyifatkan tindakan abangnya Kamarazaman Yaakob yang menubuhkan parti baharu iaitu Parti Kuasa Rakyat, adalah hak beliau dalam amalan negara demokrasi, lapor FMT.
“Adik-beradik berlainan parti politik bukan perkara baharu, sudah ada di Malaysia…ini demokrasi, itu hak beliau…tidak timbul pertelingkahan dan sebagainya,” kata Ahli Parlimen Bera itu ketika ditanya mengenai tindakan Kamarazaman yang menubuhkan Parti Kuasa Rakyat, baru-baru ini.
Pada 10 Oktober lalu, Kamarazaman melancarkan parti baharu iaitu Parti Kuasa Rakyat.
Parti yang berbilang kaum itu ditubuhkan untuk memperjuangkan sistem pelajaran percuma, kesihatan percuma, rumah percuma untuk rakyat selain mendesak peluang pekerjaan lebih banyak diwujudkan kepada golongan B40 dan M40. – Malaysiapost
