KPM sedia bincang bantu pelaksanaan PRN Melaka

0
2

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) bersedia membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilaksanakan, termasuk hal ehwal penggunaan bangunan sekolah sebagai pusat mengundi.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, berkata sekiranya PRN dilaksanakan, pihaknya akan berbincang untuk menetapkan pendekatan yang sesuai bagi memudahkan pelaksanaan pilihan raya tersebut.

Jelasnya, ia penting untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah tidak terganggu, memandangkan Melaka akan beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), bermula esok.

“Itu (PRN) tertakluk kepada keputusan SPR. Apa sahaja bantuan yang diperlukan kita akan bantu untuk permudahkan. Sebarang keputusan kita boleh bincang, mengenai apa yang diperlukan dalam konteks tersebut, pendekatan yang sesuai yang kita boleh gunakan,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan kerja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Haji Abd Malek, Cheng, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, pengoperasian sekolah mengikut Fasa 4 PPN bagi Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka hanya bermula pada 1 November ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here