Amang seksual: ‘Hackers’ ceroboh PdPR, polis buka kertas siasatan

0
2

POLIS telah membuka lima kertas siasatan berhubung kes pelajar menjadi mangsa amang seksual ketika menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Perkara tersebut disahkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, hari ini.

“Kita ada menerima laporan di Selangor, setakat ni ada lima kes semua kita buka kertas siasatan di bawah amang seksual non-fizikal dan menyalahgunakan rangkaian dan menyebar bahan lucah.

“Kes di Selangor sama seperti artikel (laporan mStar mengenai pelajar diganggu), semasa kelas PdPR ada seseorang kongsikan imej lucah.

“Mereka bukan dalam kalangan pelajar, dipercayai hackers, polis sedang menyiasat pemilik emel tersebut,” katanya dipetik MStar, hari ini.

Menurut Siti Kamsiah, alamat emel yang digunakan penceroboh terbabit adalah emel peribadi dan bukannya didaftarkan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Jelasnya, pihak polis percaya aktiviti ini dilakukan oleh kumpulan penggodam.

“Kita percaya ini kerja hackers, bagaimanapun polis masih sedang menyiasat,” katanya.

Ditanya mengenai kewujudan grup-grup Telegram yang berkongsi maklumat serta pautan PdPR bagi tujuan untuk menimbulkan kekacauan ini, Siti Kamsiah berkata, polis akan menjalankan siasatan mengikut seksyen bersesuaian.

“Kalau kita dapat maklumat mengenai grup-grup Telegram atau media sosial yang lain, kita akan jalankan siasatan mengikut seksyen kesalahan yang bersesuaian,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan mengenai kegusaran ibu bapa serta guru-guru apabila sesi PdPR yang sedang berlangsung sering diceroboh dan diganggu oleh pihak yang tidak dikenali.

Terdapat guru yang mendakwa sesi pengajaran mereka terganggu apabila ada sekumpulan individu yang tidak dikenali menceroboh masuk bagi membuat bising, berkongsi imej lucah serta mengganggu murid-murid lain khususnya pelajar wanita. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here