BEKAS Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum, tampil berkempen untuk Warisan Plus walaupun tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Beliau kelihatan pada pelancaran jentera pilihan raya calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.
Richard sebelum ini dikatakan antara calon yang bakal bertanding atas tiket Warisan, namun namanya tiada dalam senarai diumumkan parti itu sebelum penamaan calon, Sabtu lalu.
Dalam ucapannya, Richard mempersoalkan sama ada pihak yang mendakwa memperjuangkan hak-hak Sabah, benar-benar ikhlas atau sebaliknya.
Ia berikutan banyak parti dan individu yang bertanding pada PRN kali ini menggariskan misi memperjuangkan hak Sabah bagi menarik sokongan.
“Kita mahu parti tempatan yang ikhlas dalam perjuangan untuk mengembalikan hak Sabah, bukan pihak yang mencalonkan diri untuk membuat ‘pintu belakang’ lain agar membolehkan Umno masuk sekali lagi ke Sabah untuk mengawal kita,” katanya seperti dilaporkan akhbar tempatan.
Richard turut mengingatkan bahawa undi untuk Warisan Plus penting bagi mengembalikan kekayaan Sabah termasuk haknya ke atas minyak.
Katanya, rakyat Sabah perlu memilih Warisan Plus supaya usaha untuk memberi kembali tanah asal kepada penduduk asli yang diabaikan sekian lama dapat diteruskan.
Beliau yang bersara pada tahun lalu sebelum ini dikhabarkan mungkin bertanding di kerusi DUN Bingkor, Keningau atau di Moyog, Penampang.-Malaysiapost

