MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz perlu menjelaskan kesahihan berita peletakan jawatan Datuk Seri Sabin Samitah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berkata sekiranya perkara itu benar mengapa tiada pengumuman mengenainya dibuat memandangkan ia jawatan besar dan penting kepada negara.
“Satu lagi misteri negara hari ini. Betul ke? Kalau betul, mengapa tidak ada pengumuman rasmi LHDN? Kan jawatan besar dan penting negara,” katanya menerusi Facebook.
Shahrir turut mempersoalkan sama ada perletakan jawatan itu mempunyai kaitan dengan siasatan Polis Diraja Malaysai (PDRM) susulan laporan Datuk Seri Najib Razak terhadap LHDN.
“Ada kaitan ke dengan penyiasatan PDRM berikutan laporan polis oleh DS Najib?
“Menteri Kewangan pun diam je. Kalau tak betul berita ni, kena juga nafikan,” katanya.
Terdahlu, LHDN enggan mengulas spekulasi peletakan jawatan Sabin yang dikhabar pada Jumaat lalu.
Sehingga hari ini, LHDNM masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung isu tersebut.
Pada 9 September lalu, Najib membuat laporan polis terhadap LHDN dengan mendakwa saman tuntutan cukai yang dikenakan kepadanya bermotifkan politik.
Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa, pegawai-pegawai LHDN dan ahli-ahli politik tertentu telah menyalahgunakan kuasa dan menggunakan dokumen palsu dengan tujuan menganiaya dirinya.
Katanya, tindakan itu sekali gus bercanggah dengan Seksyen 167, Seksyen 192, Seksyen 196, Seksyen 197 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan jenayah berkenaan. – Malaysiapost

