DATUK Seri Najib Razak hairan mengapa DAP berusaha memainkan isu Kertas Pandora yang turut membabitkan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Pakatan Harapan (PH), Tun Daim Zainuddin.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, hakikatnya isu aliran keluar wang haram seperti laporan Global Financial Integrity berpunca daripada aktiviti Trade Mispricing bagi mengelak cukai Malaysia.
“Eh DAP? Daim bukan penasihat kerajaan PH korang ke? Bukan ahli Majlis penasihat orang tua-tua kerajaan PH ke?
“Nama Ahli Parlimen PKR William Leong yang juga tersenarai dalam Panama papers juga tak mahu sebut?,” katanya menerusi Facebook.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pengelakkan cukai itu berlaku disebabkan kadar cukai korporat Malaysia yang lebih tinggi berbanding negara-negara jiran.
Katanya, ia sepatutnya menjadi fokus PH memandangkan perkara itu merugikan negara membabitkan puluhan bilion ringgit setiap tahun.
“Jadi, kenapa pula PH mansuhkan GST yang mampu mengawal aktiviti trade mispricing ini serta mengurangkan kadar cukai korporat negara untuk mengurangkan aktiviti tersebut?,” soalnya.
Dalam pada itu, Najib menegaskan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah menjelaskan mengenai isu namanya yang turut tersenarai dalam Kertas Pandora.
“Untuk Zahid pula, dia dah jelaskan bahawa penubuhan syarikat offshore itu berlaku pada tahun 1996 dan ianya dimiliki syarikat Kretam Holdings semasa dia CEO syarikat disenarai tersebut yang melaksana projek hidro di negara China?
“Masa itu, Zahid adalah ahli perniagaan. Bukan Ahli Parlimen atau Menteri pun.
“Begitu juga dengan Zafrul yang belum dilantik menteri masa itu. Senarai Pandora papers juga jelas sebut nama Zahid tersenarai sebagai seorang pengarah tersebut pada tahun 1996,” katanya. – Malaysiapost

