UMNO mengakui tidak pasti terhadap ketentuan landskap politik negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perkara itu diakui oleh Datuk Seri Najib Razak yang berkata, kemungkinan boleh berlaku perubahan persefahaman atau penjajaran baharu antara parti-parti politik selepas PRU15.
“Sejujurnya, kita tidak tahu apakah gabungan atau persefahaman apabila PRU15 nanti.
“Atau adakah ada lagi perubahan politik selepas PRU15 nanti.
“Saya ada pendapat sendiri, tetapi saya akan bersama dengan keputusan parti Umno BN nanti,” katanya dalam ucapan merasmikan persidangan Umno cawangan-cawangan Pekan, hari ini.

Bekas Presiden Umno itu menegaskan, apapun kemungkinan yang berlaku, setiap ahli Umno perlu berusaha mengukuhkan kedudukan parti.
“Bagi saya, jagalah diri dan rumah kita sebaik-baiknya dahulu. Sebagaimana yang ahli-ahli setia Umno dan BN buat pada tahun 2018 sehingga ke hari ini.
“Dan utamakan rakyat dalam apa jua keadaan. Sepertimana yang saya dan penyokong setia Umno dan BN lakukan,” katanya.
Dalam pada itu Najib berkata, Umno perlu kembali menjadi tonggak dan menerajui negara jika mahu melihat kestabilan politik kembali terjamin.
Katanya, Umno, BN telah berjaya membukti keupayaan membentuk kestabilan politik yang hebat dan tiada tolok banding jika dibandingkan dengan negara lain.
“Kalau kita inginkan zaman tersebut, era tersebut perlulah kembalikan, maka kita kena pastikan dalam PRU15 akan datang Umno dapat muncul sebagai parti tonggak yang menubuhkan kerajaan kerana parti itu mempunyai bilangan kerusi terbesar bersama anggota kita dalam BN.
“Sama ada kita akan ada rakan-rakan lain, sekarang ini masih lagi menjadi tanda tanya pada kita semua,” katanya. – Malaysiapost

