PEMUDA Umno tidak menolak untuk terus membantu jentera parti jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda Umno Bahagian Lumut Mohd Rafiq Mohd, berkata Pemuda akan mengambil langkah ketat untuk memastikan risiko penularan Covid-19 dapat diminimumkan supaya situasi sama ketika PRN Sabah tidak berulang.
“Kalau PRN itu berjalan juga, Umno daripada Pemuda itu sendiri akan membantu berkempen, tetapi kita akan menggunakan jentera-jentera di kawasan tersebut. Kita tak galakkan jentera luar ke sana untuk elakkan penularan Covid-19.
“Kita juga akan mewajibkan ujian saringan RTK kepada semua petugas jentera kita secara berkala ketika tempoh berkempen,” katanya.
Secara peribadi, Mohd Rafiq berpandangan PRN Melaka tidak wajar diadakan memandangkan kes Covid-19 belum lagi reda setakat hari ini.
“Pendapat peribadi saya, PRN Melaka tidak sepatutnya diadakan di kala pandemik Covid-19 yang masih belum selesai, walaupun kes telah menurun tapi kita masih belum menang, saya rasa eloklah PRN itu ditangguhkan.
“Kita boleh tangguhkan sebulan atau dua bulan lagi, sehingga kes Covid-19 ini betul-betul reda,” katanya yang ditemui Malaysiapost, di Seri Manjung, Perak, hari ini.
Jelas Mohd Rafiq, kebimbangan tragedi berulang selepas PRN Sabah masih menghantui rakyat Malaysia dan pastinya PRN Melaka boleh menyebabkan penularan Covid-19 kembali meningkat di seluruh negara.
“Elok kita tangguhkan dengan pengisytiharan darurat misalnya, walaupun dua dos sudah boleh rentas negeri tapi dalam keadaan sekarang ni PRN itu (tidak sesuai) dibuat walaupun dengan SOP ditetapkan.
“Tapi saya rasa masih ada parti akan menghantar jentera untuk berkempen dan menyebabkan punca penularan kembali, bukan penularan di Melaka sahaja tapi seluruh negara.
“Kalau SPR nak buat juga PRN, jadi kami daripada parti-parti politik tak boleh cakap apa lah, kena lah hadapi PRN tersebut.
“Kita akan pastikan Umno terus memerintah di negeri Melaka itu sendiri,” katanya.
Isnin ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memutuskan sama ada PRN di Melaka akan diadakan atau ditangguhkan. – Malaysiapost

