‘Kita akan susahkan hidup antivaksin’ – KJ

0
2

“KITA akan ‘menyusahkan’ hidup kumpulan antivaksin supaya mereka berterusan tidak dibenarkan menikmati apa-apa kelonggaran seperti individu lengkap vaksinasi.” kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Dalam nada tegas Khairy berkata, walaupun vaksin tidak diwajibkan tetapi kerajaan tidak akan memberi muka kepada kumpulan terbabit kerana mereka memilih untuk menolak vaksin.

“Ia mungkin agak kasar tetapi pendekatan kita juga adalah untuk ‘menyusahkan’ hidup anda (golongan antivaksin).

“Ini kerana anda sendiri memilih untuk tidak divaksin, melainkan anda tidak boleh menerimanya atas faktor kesihatan dan dikecualikan dalam aplikasi MySejahtera.

“Bagaimanapun, jika sebaliknya, memang kami akan susahkan hidup anda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Kursus Infarksi Myokardial Kebangsaan Ke-11 (NAMIC) 2021 hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Rambau itu juga berkata, kerajaan mungkin tidak akan mewajibkan pengambilan vaksin di peringkat persekutuan, namun akan mengalakkan undang-undang itu di peringkat sektoral.

Katanya, ia sebagai mana yang telah diwajibkan bagi sektor awam bermula November depan.

“Kita juga akan galakkan sektor-sektor swasta untuk laksanakan undang-undang mewajibkan pengambilan vaksin dalam kalangan pekerja mereka,” katanya.

Hari ini, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan masih mengkaji keperluan untuk mewajibkan pengambilan suntikan vaksin Covid-19 sebelum dibawa ke Kabinet untuk dimuktamadkan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata walaupun pengambilan pelalian itu belum diwajibkan, namun beliau menggesa dan menggalakkan semua pihak berbuat demikian demi kebaikan bersama.

Setakat ini, katanya, jumlah yang enggan mengambil vaksin Covid-19 bukan atas sebab kesihatan hanyalah kira-kira satu peratus. – Malaysiapost

Kredit Foto: Jabatan Penerangan Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here