UMNO belum membuat keputusan sama ada bergerak secara solo ataupun bekerjasama dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bermesyuarat pada Khamis lalu masih belum membuat keputusan mengenainya.
Beliau berkata, Umno masih mempunyai masa untuk mencari kaedah terbaik berikutan PRN Melaka tidak diadakan dalam masa terdekat.
Katanya, MKT Umno akan membuat keputusan sama ada bergerak solo di bawah panji Barisan Nasional (BN) atau bersama PAS dan Bersatu bagi menghadapi PRN tersebut melalui satu mesyuarat yang akan ditetapkan selepas ini.
“Setakat hari ini belum buat keputusan, MKT Umno yang bermesyuarat tiga hari lepas tak buat keputusan bagaimana nak pergi (hadapi) PRN Melaka sekiranya diadakan dalam masa satu atau dua bulan dari sekarang.
“Jadi kita ada masa lagi, BN dan UMNO masih ada masa untuk cari kaedah terbaik di Melaka. Jadi saya tak fikir kata UMNO dah dah ada satu keputusan nak pergi secara solo,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pekebun Kecil Makmur RISDA Negeri Kedah di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan parti tersebut yang sebelum ini difahamkan akan bergerak secara solo bagi menghadapi PRN Melaka.
Mahdzir berkata, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga mempunyai kenyataan tersendiri, namun beliau memulangkan semula keputusan tersebut kepada MKT Umno untuk membuat keputusan akhir.
“Keputusan pada mesyuarat itu adalah kita tak buat sebarang keputusan untuk menentukan sama ada pergi solo atau secara muafakat.
“Sampai masanya kita akan mesyuarat balik, sebab itu dalam kenyataan media Majlis Tertinggi (tiga hari lalu) belum ada perkataan berkaitan macam mana nak hadapi PRN Melaka,” katanya.
Pada 13 Oktober lalu, Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno dan BN akan bertanding secara bersendirian pada PRN Melaka tanpa kerjasama parti lain termasuk PAS.
Perkara itu dimaklumkannya dalam sebuah program bual bicara bertajuk ‘Jawab, Saya Tanya’ bertajuk ‘PRU15: Membentuk Atau Membina Arus?’ pada Selasa lalu. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/Mahdzir Khalid

