JUMLAH pelancong domestik dari seluruh Semenanjung ke Melaka kembali meningkat hari ini susulan pertambahan jumlah kenderaan sempena cuti hujung minggu.
Exco Pelancongan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata beliau sendiri melihat pertambahan jumlah kenderaan selain dimaklumkan tempahan hotel di bandar raya bersejarah itu meningkat dan hampir penuh untuk hujung minggu ini.
“Betul (tempahan hotel hampir penuh). Ada sesetengah hotel telah menerima tempahan lebih 100 peratus dan terpaksa tunda (tempahan) ke hujung minggu yang lain.
“Saya percaya ramai yang mengambil kesempatan untuk bercuti di Melaka sempena cuti hujung minggu,” katanya kepada media selepas menyambut ketibaan pelancong Ke Melaka di Plaza Tol Ayer Keroh hari ini.
Muhammad Jailani berkata, pihaknya menyasarkan kemasukan pelancong sekitar 20,000 hingga 30,000 sehari ketika ini.
“Biasa pelancong bolah capai 60,000 hingga 80,000 sehari bila musim cuti, tapi biasanya 40,000 hingga 50,000 sehari, itu pada 2019. Tapi dapat 20,000 hingga 30,000 pun kita syukur.
“Ini akan membolehkan perhotelan kembali rancak dan peniaga dapat tambah pendapatan,” katanya.
Mengenai pembukaan semula Jonker Walk, beliau berkata pihaknya masih menunggu laporan daripada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sebelum membuat sebarang keputusan.
Ini kerana katanya, ia memerlukan penelitian lanjut memandangkan Jonker walk adalah kawasan sempit yang sering sesak dengan kehadiran pelawat. – Malaysiapost

