SELARAS dengan pelancaran MyDIGITAL, kerajaan akan melaksanakan strategi ‘cloud first policy’ yang mana kebergantungan terhadap perkhidmatan awan akan meningkat dalam urusan seharian rakyat Malaysia.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata bagi menjamin keselamatan, privasi, perlindungan dan aliran data pengguna dalam perkhidmatan awan, adalah penting untuk perkhidmatan awan tersebut dikawal selia.
Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melaksanakan kawal selia ringan (light touch regulation) ke atas perkhidmatan awan (cloud services) di Malaysia.
“Keputusan ini diambil setelah MCMC mempertimbangkan pandangan pihak industri tempatan dan asing yang khuatir akan kesan kawal selia terhadap pelaburan dalam sektor ini termasuk kos operasi.
“Kawal selia ringan ini akan dilaksanakan melalui pelesenan perkhidmatan awan di bawah lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [‘ASP (C)’] yang telah diliberalisasikan pada tahun 2012 yang membenarkan pegangan saham asing sehingga 100% dengan fi pendaftaran sebanyak RM2,500 setahun sahaja.
“Melalui kawal selia ringan ini, MCMC berpeluang bekerjasama dengan pemberi perkhidmatan untuk menghasilkan instrumen kawal selia seperti kod teknikal serta prosedur operasi standard (SOP) mengenai keselamatan dan perlindungan data berteraskan tanda aras antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Annuar berkata pematuhan terhadap instrumen yang dibangunkan bersama itu penting bagi menjamin kestabilan dan keseragaman perkhidmatan awan untuk mewujudkan persekitaran yang dipercayai (trusted environment) dan terjamin.
“Kawal selia ini akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2022,” katanya. – Malaysiapost

