KERAJAAN diamanahkan tanggungjawab untuk memainkan peranan lebih signifikan dalam arena hak asasi manusia antarabangsa, susulan kejayaan menjadi ahli Majlis Hak Asasi Manusia dengan 183 undian untuk penggal 2022-2024.
Ini merupakan penggal ketiga untuk Malaysia sejak sidang pertama Majlis tersebut pada Jun 2006.
SUHAKAM menerusi kenyataan berkata, dengan pemilihan ke Majlis Hak Asasi Manusia, Malaysia juga mesti memenuhi kewajipan ke arah memastikan hak asasi manusia dapat dinikmati sepenuhnya di negara ini.
“Dengan ancaman kepada hak asasi manusia di seluruh dunia, antaranya diakibatkan oleh pandemik, krisis iklim atau konflik berterusan, penting untuk Malaysia sebagai ahli Majlis untuk secara serius menangani isu-isu ini melalui kaca mata hak asasi manusia dan menjalankan usaha sama dengan ahli-ahli dan juga Prosedur Khas Majlis.
“Majlis Hak Asasi Manusia bermatlamat untuk mendapatkan sokongan dan komitmen negara Anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengambil langkah untuk mengatasi pencabulan hak asasi manusia dan mencari penyelesaian lebih mampan,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut SUHAKAM, ia juga melihat ini sebagai satu peluang kepada semua pembela hak asasi manusia, termasuk Suruhanjaya sendiri mengukuhkan libat urus dan bekerjasama dengan kerajaan bagi melaksanakan janji dan komitmen sukarelanya.
Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Malaysia telah memenangi pengundian negara-negara untuk menduduki satu daripada 18 kerusi dengan 183 undian pada Majlis Hak Asasi Manusia PBB bagi penggal 2022-2024.
Katanya, kejayaan Malaysia menduduki kerusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB merupakan pencapaian hebat dan pengiktirafan kepada status hak asasi manusia. – Malaysiapost

