CEMBURU dipercayai menjadi motif seorang lelaki yang juga pesara tentera diculik, sebelum dibunuh dengan ditikam beberapa kali di tubuh dalam kejadian di sebuah kawasan di Bukit Sumpitan, Selama.
Mangsa yang berusia 42 tahun dikatakan diculik kerana disyaki mempunyai hubungan sulit dengan seorang daripada dua suspek yang kini ditahan polis berhubung kes pembunuhan kejam itu.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata polis menerima laporan pada jam 4 pagi, Isnin lalu di Balai Polis Kuala Sepetang , mengenai seorang lelaki dilarikan daripada kediamannya secara paksa.
Menurutnya, berdasarkan laporan diterima mangsa dilarikan oleh dua lelaki yang bersenjatakan besi dan memandu kereta jenis Nissan Almera.
“Hasil siasatan lanjut mendapati kes berkenaan berlaku pada 10 Oktober (Ahad) lalu kira-kira jam 3 petang dihadapan rumah mangsa di Taman Ngah Ibrahim, Taiping.
“Mangsa adalah pesara tentera dan mengenai kedua-dua suspek yang terlibat. Kejadian dipercayai berpunca daripada masalah cemburu salah seorang suspek kerana menuduh mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isteri suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat tersebut polis melakukan tangkapan ke atas dua suspek yang dipercayai terbabit dalam satu operasi semalam.
“Suspek pertama adalah seorang tentera berusia 34 tahun dan seorang lagi suspek berusia 31 tahun yang bekerja sendiri.
“Hasil soal siasat dijalankan, kedua-dua suspek membawa polis ke sebuah kawasan di Bukit Sumpitan, Selama dan menunjukkan lokasi dimana mangsa telah dibunuh pada hari kejadian,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tempat kejadian mendapati terdapat beberapa kesan tikaman pada tubuh badan mangsa dipercayai dengan menggunakan senjata tajam.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
“Kedua-dua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 363 dan 302 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dengan salah di daerah Taiping dan kerana pembunuhan di daerah Selama,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek direman sehingga 20 Oktober ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk tujuan siasatan. – Malaysiapost

