AHLI Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli yang didakwa atas tuduhan mendapatkan kontrak pekerjaan bagi syarikat di mana bapa dan adiknya mempunyai kepentingan hari ini, mendakwa pertuduhan ke atasnya bermotifkan politik.
Bercakap kepada media selepas prosiding pertuduhan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Rozman mendakwa beliau telah diberi amaran untuk dituduh di mahkamah sebelum ini namun beberapa kali ditangguhkan.
“Saya diharapkan meninggalkan Warisan dan disebabkan saya tak mahu tinggalkan parti, maka dibacakan pertuduhan dengan harapan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tak lama lagi, reputasi saya akan terjejas.
“Namun saya akan lawan, akan bersihkan nama saya. Dalam kes ini yang dikatakan saya gunakan kedudukan, saya cuma seorang daripada sembilan ahli Lembaga Pengarah yang terdiri daripada individu berpengalaman.
“Keputusan (pemberian kontrak) sudah dibuat dan sebenarnya tidak berpihak pada syarikat yang dituduh saya ada kepentingan,” katanya yang ditemani beberapa Ahli Parlimen pembangkang.
Mengulas lanjut, Rozman yang memenangi PRU14 atas tiket Barisan Nasional (BN) sebelum melompat parti berkata beliau tetap yakin mahkamah dan para hakim akan bersifat adil sekali gus membolehkan beliau membersihkan namanya.
“Begitu juga saya yakin pengundi di Labuan tahu cerita ini, tiada masalah untuk saya beri penjelasan. Saya akan buat apa yang patut untuk bersihkan nama,” katanya yang mengakui kini selesa bersama Warisan.
Pagi tadi Rozman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan mendapatkan kontrak pekerjaan bagi syarikat di mana bapa dan adiknya mempunyai kepentingan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Rozman sebagai pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan.
Kontrak itu bagi Syarikat Liberty Port Management Sdn Bhd, yang mana bapa dan adiknya mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.
Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya, antara jam 2.30 dan 5.30 petang, pada 23 Mac 2018.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – Malaysiapost

