KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyokong pelaburan yang dilakukan MART24 Holdings Sdn Bhd melancarkan kedai serbaneka yang popular di Korea Selatan ’emart24′ ke Malaysia bagi merancakkan lagi sektor peruncitan negara.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, langkah syarikat tempatan itu untuk melabur dalam sektor peruncitan khususnya segmen kedai serbaneka di Malaysia menunjukkan keyakinan tinggi pelabur luar terhadap sektor peruncitan di negara ini, walaupun disebalik suasana pandemik Covid-19 yang mencabar pada masa ini.
Menurutnya, peningkatan pelabur dalam sektor ini turut membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, sekali gus mengurangkan kadar pengangguran terutama ketika banyak syarikat dan perniagaan terkesan dengan pandemik ini.
“KPDNHEP juga terus menerima maklum balas positif daripada syarikat pelabur luar lain yang berminat untuk melabur dalam sektor peruncitan di Malaysia dari semasa ke semasa.
“Justeru, kementerian akan terus memastikan sektor peruncitan di Malaysia kekal berdaya saing dan dapat terus menyumbang kepada peningkatan pendapatan serta pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19 ini.
“Kedudukan Malaysia dengan penduduk berbilang bangsa yang mudah menerima dan mengadaptasi keunikan negara luar juga antara faktor pelabur melihat Malaysia sebagai negara yang berpotensi besar untuk pelaburan dalam sektor peruncitan ini, khususnya segmen kedai serbaneka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan, Kedai serbaneka emart24 ini telah mula dibuka di Malaysia pada 7 Jun 2021.
“Cawangan emart24 Bandar Sunway, Petaling Jaya adalah cawangan yang kelima dibuka. Malah, EMART24 Holdings Sdn Bhd juga merancang untuk membuka lima buah cawangan emart24 lagi pada tahun ini di sekitar Lembah Klang,” katanya.
Beliau berkata, kedai serbaneka emart24 ini menawarkan konsep baru kepada pengguna dengan penggunaan sistem peruncitan digital dan harga barangan yang lebih berpatutan.
“Justeru, KPDNHEP sebagai kementerian yang mengawal selia sektor peruncitan menyambut baik perkembangan kedai serbaneka emart24 ini sebagai satu pilihan baru yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan dengan harga yang berpatutan di premis kedai serbaneka yang selesa dan moden.
“Sehubungan itu, KPDNHEP juga berkeyakinan persaingan yang sihat di dalam pasaran akan membawa kesan yang baik kepada landskap perniagaan dan kepentingan pengguna,” katanya. – Malaysiapost

