MINGGU hadapan adalah penentu kepada semua pihak untuk bertempur di medan baru dengan strategi baru susulan kebenaran rentas negeri, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Jelas Dr Noor Hisham, ia hanya boleh diatasi sekiranya seluruh rakyat dapat menerapkan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial.
Beliau berkata, setiap rakyat memainkan peranan untuk memastikan Keluarga Malaysia selamat daripada terkena jangkitan Covid-19.
“Prinsip panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah jelas dan kini tanggungjawab sosial adalah untuk melaksanakan, menerapkan dan mengamalkan SOP.
“Kita semua mesti mengetahui bahawa tindakan setiap individu mempunyai kesan terhadap bagaimana seseorang itu menguruskan Covid-19 dalam komuniti,” katanya menerusi Facebook.
Sementara itu, Dr Noor Hisham turut menasihatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman hujung minggu mengamalkan pematuhan SOP dan amalan norma baharu.
Beliau berkata, semua pihak mesti mempunyai disiplin dan patuh terhadap SOP dengan menerapkan jarak sosial, mengambil semua langkah berjaga-jaga dan menjaga kebersihan diri dengan baik.
“Kita mesti memastikan semua orang mematuhi jarak yang selamat, terutama di tempat yang sesak dan terkurung.
“Anda mungkin perlu menangani pengudaraan ruang untuk menjadikannya lebih selamat dengan pembersihan kawasan seperti pantri atau ruang solat dan hanya membenarkan sebilangan kecil untuk berkumpul pada satu-satu masa untuk memastikan keselamatan penjarakan sosial,” katanya.
Ahad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran rentas negeri bermula Isnin lalu selepas peratusan penduduk dewasa lengkap divaksinasi mencapai 90 peratus.
Kebenaran tersebut sekali gus menyaksikan aktiviti pelancongan dalam negeri juga dibenarkan. – Malaysiapost

