
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) membuat keputusan untuk menghentikan keperluan ujian pengesanan Covid-19 bagi pelancong yang memasuki Pulau Langkawi, berkuat kuasa hari ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata keputusan itu mengambil kira peratusan rendah pelancong yang dikesan positif ketika saringan Covid-19.
Bagaimanapun, katanya sebagai langkah mengukuhkan tindakan kesihatan awam, pelancong yang mahu memasuki pusat peranginan itu digalakkan untuk menjalani ujian kendiri Covid-19 sebelum memulakan perjalanan ke pulau berkenaan.
“Setakat Ahad lalu, seramai 54,341 pelancong sudah menjalani ujian pengesanan Covid-19 dan hanya 216 (0.4 peratus) dikesan positif, seorang pelancong yang mengalami gejala ketika berada di Langkawi dan didapati positif Covid-19 melalui ujian RT-PCR.
“Hasil siasatan mendapati punca jangkitan bukan di Langkawi, namun tiada kluster Covid-19 yang berpunca daripada gelembung pelancongan di Langkawi, justeru KKM menyemak semula keperluan pengujian status jangkitan Covid-19 sebelum melancong ke Langkawi.
“Jadi, mengambil kira peratus sangat rendah pelancong yang dikesan positif ketika saringan, KKM memutuskan untuk memberhentikan keperluan ujian pengesanan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Khairy berkata, syarat wajib vaksinasi Covid-19 yang lengkap bagi semua pelancong dewasa, masih kekal dan perlu dipatuhi.
“Bagi individu yang mengalami gejala seperti demam, batuk dan selesema, mereka dinasihat menangguhkan dahulu perjalanan,” katanya.
Tambahnya, Keluarga Malaysia mesti bertanggungjawab dalam usaha mencegah penularan jangkitan Covid-19.
“Kerajaan dan seluruh petugas barisan hadapan kesihatan serta keselamatan sudah melakukan yang terbaik untuk merawat dan mengawal penularan Covid-19 dalam negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan setiap individu yang akan merentas negeri, untuk melakukan ujian Covid-19 secara kendiri sebelum memulakan perjalanan.
“Ia penting bagi melindungi diri dan seluruh Keluarga Malaysia daripada jangkitan Covid-19, sekali gus memastikan langkah pencegahan sentiasa diamalkan,” katanya.
Projek rintis gelembung pelancongan Langkawi bermula 16 September lalu, mewajibkan semua pelancong menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan ke pulau itu. – Malaysiapost
