KTMB tambah perkhidmatan ETS, KTM Antarabandar

0
3

KTMB tambah perkhidmatan ETS, KTM Antarabandar

KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menambah jumlah perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) dan KTM Antarabandar mulai 14 Oktober ini.

Ia selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membenarkan pergerakan rentas negeri berkuatkuasa semalam.

Sehubungan itu, KTMB memaklumkan jualan tiket akan bermula hari ini mulai jam 3 petang untuk perjalanan sehingga Disember.

Ketua Pegawai Operasinya, Mohd Zain Mat Taha berkata perkhidmatan ETS akan beroperasi dengan 12 servis setiap hari berbanding dua ketika ini meliputi laluan sektor Gemas – Padang Besar, KL Sentral – Ipoh, Gemas – Butterworth dan sebaliknya.

Katanya, KTMB menawarkan diskaun RM5 untuk 10,000 penumpang terawal bagi pembelian tiket berharga RM40 ke atas dengan kod promo BOLEHRENTAS yang bermula 14 hingga 24 Oktober 2021.

“Empat perkhidmatan Ekspres Selatan di sektor Gemas – Johor Bahru Sentral dan dua perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran di sektor Tumpat – Johor Bahru Sentral akan beroperasi setiap hari, setelah digantung sementara operasinya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Shuttle Timuran di sektor Kuala Lipis – Tumpat kekal beroperasi dengan 10 perkhidmatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Zain berkata secara keseluruhan, perkhidmatan KTM Antarabandar akan beroperasi dengan 16 servis.

Katanya, bagi pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), kakitangan barisan hadapan KTMB akan memastikan hanya mereka lengkap divaksin sahaja dibenarkan menaiki tren dengan menunjukkan sijil digital di aplikasi MySejahtera atau kad vaksinasi Covid-19 sebagai bukti.

Tambahnya lagi, penumpang perlu berada di stesen sekurang–kurangnya sejam awal sebelum perjalanan bagi pemeriksaan dokumentasi dan suhu.

“Pemantauan oleh anggota Polis Bantuan KTMB, khususnya akan dibuat di semua stesen dan di dalam tren bagi memastikan pengguna mematuhi SOP yang dikuatkuasa.

“Selain itu, KTMB ingin menasihatkan orang ramai untuk membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau laman sesawang KTMB bagi mengurangkan interaksi antara satu sama lain. Ia lebih mudah, pantas dan efisien.

“Orang ramai digesa mendapatkan jadual waktu terkini serta maklumat semasa operasi tren menerusi laman sesawang atau layari saluran rasmi media baharu KTMB,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here