Warga Lembah Klang boleh tempah slot vaksinasi di fasiliti kesihatan swasta mulai hari ini – KKM

0
2
Petugas KKM menunjuk cara menyuntik jarum ke botol vaksin AstraZaneca di PWTC.

INDIVIDU sekitar Lembah Klang yang belum menerima janji temu vaksinasi Covid-19 atau belum sempat menerima vaksin dos kedua, kini boleh mendapatkannya secara percuma di fasiliti Kesihatan swasta.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), memaklumkan selain Klinik Kesihatan (KK) kerajaan seperti diumumkan oleh Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) pada 1 Oktober lalu, vaksinasi boleh diperoleh di fasiliti kesihatan swasta di Lembah Klang.

Menurut KKM, bagi menambah baik akses pemberian vaksin di Selangor dan Kuala Lumpur, ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) telah membangunkan program tempahan vaksin untuk golongan dewasa bermula hari ini.

“Program tempahan vaksin itu membabitkan fasiliti kesihatan swasta terpilih yang berdaftar di bawah ProtectHealth dan individu dewasa di Lembah Klang yang ingin mendapatkan janji temu vaksinasi perlu menghubungi dan membuat tempahan dengan mana-mana 98 fasiliti swasta berkenaan.

“Program vaksinasi secara tempahan ini adalah bagi mengelakkan pembaziran dan ketidakpastian permintaan vaksin,” menurut kenyataan dikeluarkan KKM, hari ini.

KKM juga memaklumkan kumpulan sasaran bagi program berkenaan adalah golongan dewasa yang baru mendaftar dan belum mendapat janji temu, selain golongan dewasa yang terlepas janji temu dos pertama atau kedua dan juga golongan lain yang diumumkan KKM dari semasa ke semasa.

“Golongan ini boleh menghubungi fasiliti terpilih untuk mendapatkan slot janji temu dahulu dan akan diberikan tarikh bagi pemberian vaksin.

“Senarai fasiliti kesihatan swasta tersebut dibahagikan mengikut daerah dan alamat perhubungan seperti yang dilampirkan di laman Facebook KKM,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here