Rezeki tunai Haji, anugerah Allah tidak ternilai

0
3

Dua beradik antara lapan rakyat Malaysia yang bertuah apabila dipilih menunaikan ibadat haji tahun ini ke­tika kerajaan Arab Saudi me­­n­ghadkan jumlah jemaah berikutan penularan pandemik Covid-19.

Maryam Munirah Mohammad Masruh, 22, yang sedang­ belajar di Riyadh akan disertai abang­nya, Musthafa Muadz, 30, sebagai mahramnya untuk menunaikan rukum Islam kelima itu.

Musthafa Muadz yang pernah menunai­kan ibadah itu sebelum ini menganggap pe­luang itu se­bagai anugerah Allah tidak ternilai.

Penuntut Sarjana Fiqh di Universiti Islam Madinah itu berkata, kerajaan Arab Saudi mendahulukan individu yang pertama kali mengerjakan haji.

“Saya mendapat rezeki me­nunaikan haji tahun ini kerana menjadi mahram untuk Mar­yam Munirah.Kerajaan Arab Saudi dilaporkan mengehadkan jumlah jemaah haji dengan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mengelak penularan pandemik Covid-19,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Pihak berkuasa negara itu mengumumkan ibadat haji yang sebelum ini dihadiri lebih 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia, dilaksanakan dalam protokol kebersihan yang ketat dengan akses terhad kepada jemaah haji di bawah 65 tahun dan tanpa penyakit kronik.

Musthafa Muadz yang berasal dari Kajang berkata, pandemik Covid-19 membataskan pergerakan orang ramai namun pengisian ilmu bersama beberapa bakal jemaah haji tahun ini yang tinggal di Arab Saudi tetap diteruskan menerusi aplikasi Zoom.

“Wabak Covid-19 telah meng­ubah cara kehidupan kita termasuk dalam soal mencari ilmu berkaitan ibadat haji.

“Selepas menerima berita saya dipilih, menjadi kemestian saya dan beberapa lagi bakal jemaah haji menjalankan ulang kaji dengan menggunakan aplikasi Zoom setiap hari sebagai persediaan menjalani ibadah berkenaan,” katanya.

Katanya, Kementerian Haji Arab Saudi akan memberikan beg khas mengandungi kit pencegahan pandemik Co­vid-19 kepada bakal jemaah.

“Kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan jemaah mengerjakan haji Ifrad. Saya dan adik akan bergerak dengan menaiki kereta dari Madinah ke Mekah pada 4 Zulhijah (25 Julai), kemudian berihram di Qarnul Manazil pada 8 Zulhijah (29 Julai).

“Difahamkan, jemaah dibenarkan berada di Mekah sehingga 12 Zulhijah (2 Ogos) sahaja dan kami mohon rakyat Malaysia agar mendoakan semua urusan jemaah haji tahun ini berjalan lancar selain ke­sejahteraan ibu saya yang kini berjuang melawan penyakit kanser,” katanya.