‘Ayahanda’ ditahan ketika hadir mesyuarat pertubuhan haram

0
2

KETUA pertubuhan haram bergelar ‘Ayahanda’ antara 52 individu yang ditahan ketika menghadiri mesyuarat di sebuah hotel di Kuala Terengganu, Terengganu pada Jumaat lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 9 malam itu, kesemua mereka yang ditahan itu termasuk enam wanita berusia antara 16 hingga 52 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar, berkata siasatan dan pemeriksaan terhadap individu terbabit, mereka mengaku menghadiri mesyuarat membabitkan satu pertubuhan yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

“Dalam serbuan itu, pelbagai barangan berkaitan kumpulan terbabit dirampas.

“Selain itu, ujian saringan awal air kencing terhadap mereka mendapati enam daripadanya positif dadah jenis methamphetamine.

“Siasatan awal mendapati tiga daripada mereka adalah ketua pertubuhan yang menggelarkan diri sebagai ‘Ayahanda’ dan ke semua mereka berusia 30 hingga 35 tahun itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah kekerasan dan narkotik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, modus operandi pertubuhan itu dipercayai menjalankan kerja menarik kereta yang mempunyai tunggakan bayaran di bank atau ‘reposessor’.

“Seramai 36 individu yang ditahan direman empat hari bermula semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here