TINJAUAN Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati hampir satu daripada dua rakyat Malaysia berlebihan berat badan atau obesiti.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata kajian sama turut mendapati satu daripada empat rakyat Malaysia tidak mengamalkan gaya hidup sihat dan tidak cergas atau tidak melaksanakan riadah dengan konsisten.
Menurutnya, sebab itu Hari Sukan Negara (HSN) menjadi sebahagian daripada Agenda Nasional Malaysia Sihat yang diperjuangkan oleh KKM.
“HSN ini dekat dihati saya, kerana ia dimulakan ketika saya menjadi Menteri Beliau dan Sukan.
“Ini adalah tahun keenam ia diadakan dan tahun lalu mungkin kita tidak dapat disambut secara besar-besaran disebabkan keadaan pandemik Covid-19.
“Alhamdulillah, tahun ini kita semakin pulih dan kita ingin melihat dalam pemulihan ini sektor sukan akan dibuka dengan lebih luas lagi untuk menggalakkan rakyat Malaysia terutamanya menjadi lebih cergas dan lebih sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan HSN Peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi Negeri Sembilan, hari ini.
Khairy berkata, misinya sewaktu memulakan HSN adalah untuk membudayakan sukan dikalangan rakyat sebagai satu gaya hidup dan secara langsung dapat membantu agenda KKM.
“HSN ini bukan hanya untuk atlet sahaja, ia bukan hanya untuk mereka yang berprestasi tinggi dalam sukan tetapi sebaliknya HSN ini adalah untuk rakyat jelata
“Kita mahu melihat melalui sukan, riadah dan kecergasan rakyat Malaysia tidak kira umur sama ada warga emas, kanak-kanak, remaja atau dewasa semua akan menggembleng tenaga untuk menjadi negara bersukan, sihat sejahtera, cergas dan dapat menghadapi cabaran serta rintangan untuk masa akan datang,” katanya.
Beliau juga berharap KKM menjadi contoh kepada rakyat dalam mengamalkan gaya hidup sihat. – Malaysiapost

