KETUA Bahagian parti WARISAN Tawau, Abdul Salip Ejal mengumumkan peletakan jawatannya dan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Beliau berkata, tindakan itu dilakukan bagi memperjuangkan rakyat bersama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob yang meninggalkan Warisan untuk menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pagi tadi.
“Selaras dengan pengumuman ini, saya bersama sembilan Ahli Jawatankuasa Bahagian sepakat untuk berada di blok bebas bersama Yusof. Keputusan ini dibuat atas kerelaan kami tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.
“Saya ingin berterima kasih dan menyanjung tinggi kepercayaan seluruh pimpinan Warisan, khususnya Presiden (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk mengemudi bahagian ini sejak dua tahun lepas,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Yusof yang juga bekas Ketua Penerangan Warisan mengumumkan keluar parti untuk menjadi Adun bebas dan menyokong kerajaan Sabah ditadbir GRS kerana mahu membantu rakyat di kawasan Sindumin dan Sipitang menyelesaikan pelbagai masalah, selain berusaha membawa pembangunan ke kawasan itu. – Malaysiapost
Kredit foto : SabahMedia.com

