JUMLAH populasi dewasa di negara ini yang telah lengkap vaksinasi Covid-19 kini mencecah 89.1 peratus, iaitu 20,856,337 individu.
Sehubungan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata hanya tinggal 0.9 peratus sahaja lagi untuk sempadan negeri dibuka.
Sehubungan itu, beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kekal seperti sedia ada dan menasihatkan orang ramai mengambil langkah perlu bagi mengelak penularan.
“(Tinggal) 0.9 peratus sahaja lagi sehingga sempadan negeri dibuka. SOP sedia ada kekal di restoran, rumah ibadat, tempat awam, dan lain-lain.
“Buat ujian kendiri sebelum balik kampung atau melancong. Tingkatkan penilaian kendiri TRIIS (ulang, hafal dan hadam). Sama-sama ke arah #ReopeningSafely,” katanya menerusi ciapan di Twitter pagi ini.
Berdasarkan data dikongsi Khairy, 94.6 peratus atau 22,153,302 individu daripada populasi dewasa pula sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Secara keseluruhan jumlah pemberian dos vaksin Covid-19 di Malaysia termasuk vaksin dos tunggal dan dua dos setakat semalam adalah sebanyak 42,900,195 dos dengan 86,639 dos diberikan semalam.
Pada 22 September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pergerakan merentas negeri akan dibenarkan apabila 90 peratus golongan dewasa sudah melengkapkan vaksinasi Covid-19. – Malaysiapost

