Sabah belum benarkan rentas negeri dalam tempoh terdekat

0
2

SABAH mungkin tidak akan membenarkan lagi pergerakan rentas negeri berikutan kadar vaksinasi yang masih rendah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Sebaliknya beliau berkata, kebenaran rentas negeri akan dipertimbangkan sebaik sahaja kadar vaksinasi populasi dewasa di negeri itu mencapai tahap munasabah, lapor Utusan Malaysia.

“Kita akan mempertimbangkan (rentas negeri) apabila kita mencapai kadar vaksinasi penduduk yang munasabah,” katanya.

Semalam Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kementeriannya yakin semua negeri mampu mencapai unjuran 80 peratus penduduk dewasa divaksinasi pada Oktober, kecuali Sabah.

Sehubungan itu, Khairy berkata, program outreach akan diperhebatkan di Sabah termasuk kempen gerak vaksinasi kepada masyarakat.

Setakat ini pergerakan di Sabah kekal mengikut sistem zon seperti dikuatkuasakan sejak 1 Oktober lalu.

Ketika ini, pergerakan rentas daerah di Sabah dibahagikan kepada lima bagi daerah-daerah yang sudah mencapai 60 peratus penduduk dewasa lengkap divaksinasi.

Sementara itu, tujuh daerah tidak dimasukkan dalam zon dan kekal sebagai daerah persendirian kerana kadar vaksinasi penduduk dewasa belum mencapai 60 peratus. Ia termasuk Kinabatangan, Telupid, Sandakan, Tawau, Semporna, Papar dan Nabawan.

Setakat kelmarin, seramai 2.06 juta atau 74.8 peratus penduduk dewasa Sabah telah menerima vaksin dan daripada jumlah itu, seramai 1.85 juta atau 67.4 peratus penduduk dewasa lengkap kedua-dua dos. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here