282 pengunjung pusat hiburan dikompaun RM1,000

0
2

Fitri Nizam

SERAMAI 282 pengunjung sebuah pusat hiburan di Tropicana Damansara dikompaun RM1,000 setiap seorang kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Operasi dijalankan pada jam 11.30 malam oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata semakan mendapati premis mempunyai lesen sah dikeluarkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Bagaimanapun, kompaun dikenakan kepada pemilik kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3 Jadual 4 Aktiviti Terlarang iaitu apa-apa aktiviti dengan kehadiran yang ramai sehingga menyukarkan penjarakan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan pemilik itu juga salah di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(No.8) 2020.

“Selain itu, polis mengenakan kompauan terhadap penjaga premis serta 282 pengunjung membabitkan 171 lelaki dan 111 wanita,” katanya.

Nik Ezanee berkata, polis juga menahan dua wanita warga asing berusia 20 tahun mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau juga memberi amaran kepada orang ramai dan pengusaha pusat hiburan supaya mematuhi PKPP namun jika gagal berbuat demikian tindakan tegas akan diambil. – Malaysiapost