Tinggal 1.2 peratus lagi bagi capai sasaran 90 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi

0
2
Warga-warga asing hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) KLCC ketika tinjuan Malaysiapost pagi tadi.

HANYA tinggal 1.2 peratus sahaja lagi untuk negara mencapai sasaran 90 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi Covid-19, sekaligus membolehkan aktiviti rentas negeri dibenarkan.

Berdasarkan data dikongsi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, di laman Twitternya, hari ini peratusan populasi dewasa yang lengkap vaksinasi sehingga semalam adalah 88.8 peratus atau 20,786,568 individu.

Sementara itu 94.6 peratus atau 22,135,242 individu daripada populasi dewasa pula sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Secara keseluruhan jumlah pemberian dos vaksin Covid-19 di Malaysia termasuk vaksin dos tunggal dan dua dos setakat semalam adalah sebanyak 45,007,832 dos dengan 209,907 dos diberikan semalam.

Bagi golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun yang sudah melengkapkan suntikan vaksin, setakat semalam pula adalah sebanyak 129,152 atau 4.1 peratus.

Pada 22 September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti merentas negeri akan dibenarkan apabila 90 peratus golongan dewasa sudah melengkapkan vaksinasi Covid-19 mereka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here