PN tidak sokong cadangan wujud satu lagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat – Muhyiddin

0
2

MAJLIS Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional (PN) berpendirian tiada keperluan untuk mewujudkan satu lagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada masa ini.

Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kewujudan dua jawatan berkenaan seperti termaktub dalam Perkara 57(1)(b) Perlembagaan Persekutuan adalah memadai bagi tujuan menjamin kelicinan perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat.

Menurutnya, peruntukan Perkara 57(3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat mempengerusikan mesyuarat juga adalah sudah memadai.

“Justeru, tiada keperluan Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menambah satu lagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada masa ini.

“Cadangan pindaan perlembagaan ini memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli-Ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhyiddin berkata, PN berpendirian bahawa persefahaman antara kerajaan dan pembangkang di Parlimen adalah terhad kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama dan termaktub secara jelas dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kesstabilan Politik yang ditandatangani antara Perdana Menteri dengan pimpinan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September lalu.

“Pindaan Perlembagaan untuk menambah jawatan berkenaan tidak termaktub dalam MoU tersebut. Justeru, adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk menuntut pelaksanaannya.

“Atas dasar ini, PN telah membuat pendirian untuk tidak menyokong sebarang cadangan pindaan perlembagaan bagi tujuan ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here