Ketua Penerangan PKR Sabah letak jawatan

0
2

KETUA Penerangan PKR Sabah, Simsudin Sidek meletakkan jawatan setelah parti itu gagal mendapatkan 14 kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) seperti diminta parti itu.

Rabu lalu, beliau mengumumkan PKR akan bertanding 14 kerusi namun hanya memperoleh tujuh selepas Warisan Plus mengumumkan calon mereka.

Walaupun pada awalnya jumlah kerusi diterima menimbulkan rasa tidak puas hati, namun kepimpinan PKR bersetuju bagi mengelak pertembungan dengan sekutunya pada hari penamaan calon.

Simsudin berkata, beliau menghormati keputusan pucuk pimpinan tetapi meletak jawatan sebagai ketua penerangan PKR Sabah berkuatkuasa pada 11 September.

“Saya berpendapat pertambahan ketara bilangan ahli PKR Sabah dan kerusi DUN pada PRN menjadi asas justifikasi untuk selayaknya PKR Sabah mendapat pengagihan kerusi lebih adil,” katanya dalam satu kenyataan.

Walaupun tidaksetuju dengan pengagihan kerusi dan meletakkan jawatan dalam PKR, Simsudin berkata dia tetap setia kepada parti itu.

“Saya ingin menegaskan akan terus setia bersama PKR yang telah saya sertai lebih 20 tahun dan akan kekal memegang jawatan ketua cabang PKR Labuan yang dipilih oleh anggota parti, dan akan terus melaksanakan tanggungjawab itu sebaik mungkin.

“Saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada seluruh ahli dan MPN Sabah yang telah memberi sepenuh kerjasama kepada saya sepanjang saya melaksanakan amanah sebagai ketua penerangan,” katanya. – Malaysiapost