Masa tepat ASEAN fokus kolaborasi dalam keselamatan siber – KKMM

0
3

MALAYSIA melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menghargai dan mengalu-alukan sumbangan serta sokongan rakan Dialog Persidangan Menteri ASEAN mengenai Keselamatan Siber (AMCC) bagi mewujudkan mekanisme yang holistik dan lebih terkoordinasi.

Ia khususnya dalam menjaga keamanan dan kestabilan serta mempromosikan persekitaran siber yang terbuka, stabil serta dapat diakses dengan aman di rantau ini.

Menurut KKMM dalam satu kenyataan, Malaysia yang diwakili Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Khairul Shahril Idrus memberi penekanan akan kepentingan mekanisme ini.

“Ia sebagai pemangkin untuk menangani cabaran utama yang dihadapi oleh semua pihak, lebih-lebih lagi dalam era Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang berfungsi sebagai platform pertumbuhan ekonomi digital.

“Tambahan pula dengan keadaan pandemik Covid-19 menyebabkan semua negara menjadi lebih bergantung kepada ICT dalam menjalani aktiviti seharian.

“Sehubungan itu, Malaysia berpandangan kini masa yang tepat untuk semua negara anggota agar lebih fokus kepada kolaborasi dalam mewujudkan ruang siber yang selamat melalui perkembangan strategi yang pragmatik agar lebih terjamin, dipercayai dan berdaya tahan serta pada masa sama dapat memupuk kesejahteraan ekonomi dan masyarakat secara amnya,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kolaborasi serantau ASEAN ini penting agar ancaman siber yang semakin membimbangkan pada masa ini dapat diatasi.

“Ini selaras dengan tema AMCC pada kali ini iaitu ‘Living with Covid-19 – Reimagining Digital Security Risks and Opportunities,” kata kenyataan itu.

KKMM turut memaklumkan, AMCC merupakan mesyuarat tahunan dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Perhubungan dan Penerangan Singapura (MCI) serta Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) bersempena dengan Singapore International Cyber Week (SICW).

“Ia adalah wadah untuk bertukar-tukar pandangan dan pengalaman mengenai isu-isu utama keselamatan siber, merangkumi ancaman keselamatan siber yang kian berleluasa serta perundangan, pembinaan kapasiti dan norma-norma menerusi ruangan siber untuk memajukan lagi perbincangan serantau yang telah dimulakan sejak tahun 2016.

“Pada Sesi Utama AMCC, Malaysia telah membentangkan mengenai kemajuan pembangunan draf matriks tindakan bagi ASEAN Plan of Action on the Implementation Norms of Responsible States Behaviour in Cyberspace.

“Inisiatif pembangunan Pelan Tindakan ini diketuai oleh Malaysia, melalui Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dengan kerjasama Singapura, melalui CSA,” katanya.

Terdahulu, negara-negara anggota ASEAN telah menyatakan sokongan terhadap perundangan antarabangsa iaitu norma dan prinsip tanggungjawab tingkah laku negara dalam pengurusan keselamatan siber yang dibincangkan dalam laporan 2015 Group of Governmental Experts on Developments in the Field of Information and Telecommunications in the Context of International Security (UNGGE).

Justeru, Malaysia akan terus aktif mengambil bahagian dan menyumbang dalam semua inisiatif kolaborasi keselamatan siber serantau. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here