Hajiji calon Ketua Menteri, itu kalau Umno, Jeffrey Kitingan setuju – Shafie

0
2

TERSERAH kepada mereka tentukan siapa calon Ketua Menteri dan sama ada Umno atau Datuk Dr Jeffrey Kitingan setuju, kata Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang membayangkan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor calon Ketua Menteri jika Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Mohd Shafie, calon Warisan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang berkata pembangkang boleh menyuarakan apa saja kerana itu hak mereka, namun tidak sama seperti Warisan Plus yang telah jelas siapa mengetuai kerajaan jika kembali mendapat mandat rakyat.

“Saya tak boleh cakap. Yang di sebelah kita memang jelas (siapa Ketua Menteri,” katanya ketika ditemui media di Semporna hari ini.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata kesepakatan dan kerjasama dalam Warisan Plus yang diterjemahkan melalui pengagihan kerusi berjaya megelak pertembungan sesama sendiri pada PRN kali ini.

Beliau juga optimis pengagihan kerusi yang tersusun membolehkan gerak kerja dirancang dengan baik dan teratur.

“Saya amat yakin kerana kita berunding dengan baik dan kerjasama antara Warisan bersama DAP, PKR dan Amanah, sangat baik.

“Setelah berunding, mereka mengikuti cara sebagaimana kita putuskan secara bersama dan saling membantu.

“Sebagai contoh, di mana DAP bertanding kita akan bantu, termasuk kerusi Tempasuk yang PKR bertanding akan dibantu dan itu membolehkan kita mendapat kejayaan,” katanya.

Suruhanajaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), menerusi data di laman sesawangnya menunjukkan gabungan BN, PN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) bertembung sesama sendiri di 17 kerusi. – Malaysiapost