KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN), Isham Jalil menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak sesuai diadakan serta wajar ditangguhkan sehingga situasi Covid-19 reda.
Beliau berkata, penangguhan itu boleh dilakukan dengan pengisytiharan Darurat di negeri berkenaan seperti mana yang dilakukan ke atas Sarawak, Batu Sapi dan Gerik.
Katanya, Ketua Menteri Melaka melalui Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di Melaka bagi menangguh PRN atas sebab-sebab keselamatan dan kesihatan rakyat.
“Keadaan Covid-19 di negeri Melaka belum lagi reda, kes-kes baru melibatkan varian Delta juga bertambah di Melaka yang melibatkan orang dewasa dan kanak-kanak.
“Oleh itu pilihanraya mungkin tidak sesuai dilakukan pada masa ini. Kita tidak mahu apa yang berlaku selepas PRN di Sabah dahulu berlaku pula di Melaka dan berjangkit ke negeri-negeri lain di Semenanjung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, minggu lalu kadar jangkitan Covid-19 di Melaka adalah tertinggi di Malaysia berbanding negeri-negeri lain.
“Kadar jangkitan Melaka juga melebihi 1 iaitu 1.01, dan jauh lebih tinggi daripada purata kebangsaan iaitu 0.89.
“Walaupun kadar vaksinasi sedang meningkat, namun keberkesanannya ke atas varian Delta wabak ini masih menjadi persoalan,” katanya.
Isham berkata, Melaka mempunyai lebih kurang 500,000 pemilih dan ramai daripadanya juga adalah pengundi yang tinggal di luar Melaka.
Justeru, katanya, jika PRN diadakan kemungkinan besar pengundi-pengundi luar itu akan menghadapi kesukaran untuk mengundi atau merentas negeri.
“Kita tidak mahu ada banyak kekangan kepada pengundi untuk mengundi, ini tidak baik untuk demokrasi dan keabsahan keputusan nanti.
“Untuk tangguh pilihanraya, darurat perlu diisytiharkan. Darurat tidak perlu diisytihar di seluruh negara, tetapi boleh diisytihar untuk sesuatu kawasan atau negeri sahaja,” katanya.
Mengulas mengenai kemampun BN dalam PRN Melaka, Isham berkata, parti itu mempunyai peluang cerah untuk menang sekurang-kurangnya 17 ke 21 daripada 28 kerusi DUN untuk membentuk semula kerajaan negeri.
“PH kata mereka yakin menang. Saya tidak rasa begitu. Sebab semasa PH jadi kerajaan dahulu, mereka terbukti tidak tunai janji pilihanraya mereka semasa PRU-14 lepas.
“Mereka telah gagal dalam mentadbir kerajaan semasa 22 bulan mereka memerintah sehingga keadaan ekonomi menjadi semakin teruk,” katanya.
Beliau berkata, Perikatan Nasional (PN) pula terdiri daripada pelompat parti yang mana amalan itu tidak disukai pengundi.
“Bagi BN pula, jika dilihat selama berdekad-dekad BN telah terbukti berjaya mentadbir negara dengan baik untuk kestabilan politik dan ekonomi dan untuk memulihkan negara dari krisis,” katanya. – Malaysiapost

