MOTAC bincang buka semula pelancongan antarabangsa

0
3
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri bercakap pada sidang media status terkini gelembung perjalanan pelancongan domestik di Aswara.

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) mengadakan perbincangan bersama 43 orang Pengarah Tourism Malaysia bagi membincangkan potensi pembukaan semula aktiviti pelancongan antarabangsa.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perbincangan itu dibuat secara maya bagi membincangkan perkara tersebut setelah pintu sempadan negara kembali dibuka kelak.

“Data yang kita perolehi daripada semua Pengarah Tourism Malaysia luar negara akan dijadikan panduan untuk kita mengenalpasti tahap kesediaan negara menyasarkan pembukaan sektor pelancongan antarabangsa.

“Ini dapat membantu kita untuk merangka kempen promosi dan pemasaran bagi membolehkan pelancong luar negara menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan apabila sempadan negara dibuka nanti,” katanya.

Beliau berkata, sesi libat urus ini juga membincangkan perkara-perkara berkaitan peraturan kesihatan serta amalan terbaik yang dilaksanakan oleh negara luar.

“Informasi seperti ini dapat membantu pihak MOTAC dalam merangka mekanisme yang bersesuaian berhubung urusan kemasukan, faktor kesihatan dan keselamatan, imigresen serta sistem penjejakan data.

“Perkara ini seterusnya akan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dipertimbangkan sebelum keputusan membuka semula sempadan negara dibuat,” katanya.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, antara isu yang dikemukakan Pengarah Tourism Malaysia Luar Negara adalah berkaitan tempoh kuarantin semasa ketibaan, pengiktirafan vaksinasi dan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas untuk pelancong luar negara.

Menurutnya, untuk rekod, industri pelancongan negara terjejas teruk dalam tempoh pandemik Covid-19 dengan anggaran kerugian sebanyak RM135 bilion dan jumlah ini dijangka meningkat kepada RM165 bilion pada 2021.

Sehubungan itu, beliau berkata, Tourism Malaysia perlu meningkatkan promosi berhubung keunikan Malaysia di persada dunia seiring dengan tumpuan MOTAC terhadap cadangan pembukaan gelembung pelancongan antarabangsa.

“Bagi mencapai sasaran kemasukan 16 juta pelancong antarabangsa dan pendapatan sekurang-kurangnya RM45 bilion pada tahun 2025, kita perlu bersama-sama berganding bahu dan bekerja sebagai satu pasukan demi mencapai matlamat memulihkan kembali industri ini seiring dengan tagline MOTAC, Coming Back Stronger,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Dr Noor Zari Hamat turut menyatakan bahawa promosi dan pemasaran perlulah mengangkat produk pelancongan yang lebih baik terutamanya dalam aspek kelestarian pelancongan itu sendiri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here