Akta Sekat Agama tidak halang kebebasan pengganut agama lain

0
3

[PARLIMEN] PENGGUBALAN Rang Undang-Undang (RUU) Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam tidak akan menyekat kebebasan beragama terhadap orang bukan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, orang bukan Islam tidak terikat dengan undang-undang tersebut sekiranya penyebaran agama hanya ditujukan kepada golongan yang menganuti agama selain daripada Islam.

“Rang undang-undang ini bukan tujuan menyekat kebebasan beragama dalam kalangan orang bukan Islam. Mereka bebas menyebarkan agama mereka dalam kalangan mereka sahaja tetapi tidak untuk orang Islam,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Idris berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan dari Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) yang mempertikai kewajaran undang-undang tersebut dilaksanakan sedangkan di dalam Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan Islam adalah agama Persekutuan selain bebas beragama secara aman.

Terdahulu, Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) meminta Idris menyatakan status Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau dikenali sebagai RUU355 dan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam yang sudah sedia dibawa ke rundingan bersama negeri-negeri pada tahun lepas.

Tegas Idris, jawatankuasa teknikal sudah menubuhkan jawatankuasa kecil bagi meneliti secara mendalam sekali gus mencadangkan penambahbaikan terhadap rang undang-undang berkenaan bagi memastikannya selari dengan Perlembagaan.

“Kedua-dua undang-undang ini akan dimuktamadkan kelak dan akan dibentangkan kepada negeri-negeri dalam persidangan penyelarasan undang-undang syarak dan sivil yang dijadualkan berlangsung pada 12 sehingga 14 Oktober ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here