[PARLIMEN] PELANTIKAN Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman untuk mempengerusikan mesyuarat Dewan Rakyat sementara waktu, tidak menimbulkan konflik berkepentingan atau conflict of interest, kata Datuk Azhar Azizan Harun.
Yang Dipertua Dewan Rakyat itu menjelaskan ini kerana pelantikan wakil rakyat Umno itu sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia) adalah bukan bertaraf eksekutif.
“Saya telah dimaklumkan oleh YB Pengerang bahawa pelantikan beliau bukanlah berstatus menteri. Jadi bukan menjadi sebahagian daripada pihak pentadbiran atau eksekutif.
“Beliau hanya penasihat yang akan menasihati Perdana Menteri, bukan menasihati kerajaan mengikut pendapat, pengetahuan dan kebijaksanaan beliau.
“Oleh kerana beliau bukan ahli eksekutif, saya tidak nampak apa-apa masalah dalam permintaan saya untuk beliau mempengerusikan apa-apa persidangan,” katanya.
Azhar menjawab pertanyaan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang meminta beliau mengkaji semula permintaan melantik Azalina mempengerusikan perjalanan sidang Dewan Rakyat.
Azhar berkata jika wujud konflik berkepentingan, beliau sendiri akan memastikan Azalina mengecualikan diri daripada mempengerusikan mesyuarat.
“Apabila kita bercakap mengenai conflict of interest, dinamiknya berterusan. Jadi sepanjang mempengerusikan apa-apa persidangan, sekiranya beliau tidak perlu membuat apa-apa ruling, mengenai perkara-perkara yang dinasihati beliau, maka saya rasa tiada konflik berkepentingan.
“Sama seperti saya, ramai orang kata saya ada masalah konflik berkepentingan dengan Peguam Negara sebab beliau abang saya. Tetapi sekiranya perkara itu dibincang, saya boleh mempengerusikannya.
“Tetapi kalau saya nak buat ruling, waktu itu konflik berkepentingan akan timbul, maka saya akan mengecualikan diri saya.
“Sama juga dengan Pengerang, jika apa-apa ruling perlu dilakukan, maka sudah tentulah dan saya pasti, beliau akan mengecualikan diri daripada mempengerusikan (mesyuarat). Itu pandangan saya dan pegangan saya,” katanya.
Terdahulu isu Azalina mempengerusikan sidang Dewan Rakyat sementara, sekali lagi dipertikai pembangkang.
Ia dibangkitkan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Bharu) yang mempersoalkan kewajaran Azalina menerima jemputan bagi mempengerusikan persidangan memandangkan beliau telah dilantik Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia).
Keadaan itu dibimbangi akan mewujudkan kejanggalan sekiranya ada isu berkaitan perundangan atau hak asasi manusia membabitkan Perdana Menteri nanti. – Malaysiapost

